Maklumat dan info waktu solat di malaysia

Lima haiwan fawasiq



Haiwan Yang Boleh Dibunuh Ketika Ihram Dan Di Tanah Haram
Ketika saat ihram,adakah boleh membunuh haiwan seperti kala jengking,ular dan haiwan yang berbahaya lebih-lebih lagi ketika di tanah haram dan dalam ihram?

Bagi meneliti perkara ini,merujuk hadits-hadits Rasulullah s.a.w dari perbagai riwayat,terdapat beberapa anjuran oleh Rasulullah s.a.w dalam menghuraikan kemuskilan tersebut.Hal ini adalah syariat Islam dibangun di atas jalbul mashâlih (menciptakan atau mendatangkan kemaslahatan) dan dar`ul mafâsid (menghapus semua bahaya dan kerosakan). Semua yang merosak dan mengganggu boleh dihilangkan sesuai dengan tingkatan kerosakan dan gangguan yang timbul. Hal ini dijelaskan dalam sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam :
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Tidak boleh ada bahaya dan tidak boleh memberi bahaya [HR Ibnu Majah dIrwa’ al-ghalil no. 896].

Di dalam hadis sahih, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:


خَمْسٌ فَوَاسِقُ، يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ: الْحَيَّةُ، وَالْغُرَابُ الْأَبْقَعُ، وَالْفَأْرَةُ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ، وَالْحُدَيَّا

Maksudnya: “Lima haiwan fawasiq (yang terkeluar daripada hukum haiwan lain kerana menyakitkan dan merosakkan) yang boleh dibunuh di tanah halal dan di tanah haram; ulargagaktikusanjing yang buas atau serigala, dan helang”. (Hadis Riwayat Muslim, 2/856, no: 1198).

Walau bagaimanapun, kaedah membunuh haiwan-haiwan tersebut hendaklah dengan cara yang tidak menyeksa. Kerana Islam memerintahkan supaya berlaku ihsan dalam setiap pembunuhan. Jika gunakan gam pelekat bila melekat saja di gam tersebut buat pukulan sekali pukul saja sehingga mati. Jika gunakan perangkap tikus keluarkan di kawasan lapang jika tikus keluar saja terus berikan pukulan maut  (semakin banyak pukulan,semakin terseksa haiwan tersebut sekiranya pukul tersebut tidak mendatangkan kematian). 

Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:


إِنَّ اللهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah memerintahkan berlaku ihsan dalam setiap sesuatu. Maka apabila kamu membunuh, maka elokkanlah cara pembunuhan. Dan jika kamu menyembelih maka elokkanlah cara penyembelihan (memilih cara yang lembut dan terbaik)”. (Hadis Riwayat Muslim, 3/1548, no: 1955).

Maka tidak diharuskan membunuh tikus-tikus dengan cara menyeksanya seperti menjemurnya di tengah panas terik matahari dalam tempoh yang lama sedangkan terdapat banyak kaedah lain yang lebih baik seperti memukul hingga mati, menggunakan renjatan elektrik dan seumpamanya.Inilah cara islam dalam menerapkan kehidupan sebagaimana Allah s.w.t telah ajarkan tertib dan adab ketika berhadapan dengan makhluknya sekalipun terpaksa membunuh haiwan itu,namun dengan cara yang berakhlak.Wallahu a’lam.

Didalam hadits lain pula,turut tersenarai sebagai haiwan yang boleh dibunuh termasuk di tanah haram adalah kala jengking:

Diriwayatkan oleh Sayyidatina Aisyah, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda: "Lima haiwan jahat, yang boleh dibunuh di tanah Haram: Gagak, dan rajawali, dan anjing galak, dan kalajengking, dan tikus." (HR. Bukhari dan Muslim)

Dari Ibnu Abbaas Radhiyallahu Anhu, beliau berkata: "Sesungguhnya Nabi Shallallahu Alaihi Wa Sallam mencegah dari membunuh empat haiwan: Semutlebahburung hud-hud, dan burung Shurad." (HR. Abu Dawuud: 2490)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah memberitahukan bahawa sifat pengganggu melekat pada haiwan-haiwan tersebut. Dalam bahasa beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam , binatang-binatang pengganggu itu disebut fawâsiq . Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam pun mengizinkan untuk membunuhnya. Demikian juga serangga-serangga, diperbolehkan membunuhnya di tanah suci dan luar tanah suci apabila binatang-binatang tersebut menimbulkan gangguan, seperti semut, kecoa (lipas), nyamuk dan haiwan lain menimbulkan gangguan.[Majmû’ Fatâwa wa Maqâlât Mutanawwi’ah 5/301-302]


Membunuh Haiwan Fawasiq Ketika Sedang Ihram


Dari ‘Aisyah radhiallahu anha, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,


خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِى الْحَرَمِ الْفَأْرَةُ ، وَالْعَقْرَبُ ، وَالْحُدَيَّا ، وَالْغُرَابُ ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ

“Ada lima jenis haiwan fasiq (berbahaya) yang boleh dibunuh ketika sedang ihram,iaitu tikus, kalajengking, burung rajawali, burung gagak dan kalb aqur (anjing galak).” (HR. Bukhari no. 3314 dan Muslim no. 1198)

Imam Nawawi rahimahullah menjelaskan, “Makna fasik dalam bahasa Arab adalah al khuruj (keluar). Seseorang disebut fasik apabila ia keluar dari perintah dan ketaatan pada Allah Ta’ala. Lantas haiwan-haiwan ini disebut fasik kerana keluarnya mereka hanya untuk mengganggu dan membuat kerosakan di jalan yang biasa dilalui haiwan-haiwan tunggangan. Ada pula ulama yang menerangkan bahawa haiwan-haiwan ini disebut fasik kerana mereka keluar dari haiwan-haiwan yang diharamkan untuk dibunuh di tanah haram dan ketika ihram.” (Syarh Shahih Muslim, 8: 101)

Ditambah pula kala jengking itu pernah suatu ketika Rasulullah s.a.w ketika sedang solat,haiwan tersebut menyengat baginda s.a.w hingga bengkak tangan Rasulullah s.a.w.Seperti diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam Musnad-nya dari hadits Abdul bin Mas'ud, ia menceritakan, "Ketika Rasulullah shalat, pada saat beliau sujud, tiba - tiba seekor kalajengking menyengat jari tangannya. Maka, Rasulullah keluar dan berkata, 'Semoga Allah melaknat kalajengking. Ia tidak membiarkan (tidak membeza - bezakan) antara seorang Nabi dan tidak pula yang lainnya.' Kemudian Rasulullah menyuruh diambilkan bejana yang berisi air dan garam, lalu bagian yang disengat kalajengking tersebut direndam dengan air dan garam itu sambil membaca, 'Qul huwallahu ahad dan Muaqqidzatain,' hingga rasa sakitnya reda."


Rasulullah s.a.w Disengat Kala Jengking


Ali bin Abi Thalib berkata, “Pada suatu malam, ketika Rasulullah sedang solat, saat beliau meletakkan tangannya di atas tanah (sedang sujud), ada Kalajengking yang menyengatnya. Kemudian beliau mengambil sandal (terompahnya), lalu membunuhnya. Setelah selesai, beliau bersabda, ‘Semoga Allah melaknat Kalajengking yang tidak membiarkan orang yang sedang solat atau yang lainnya, juga tidak pandang nabi atau lainnya.’ Lalu beliau mengambil sewadah air dan garam, dan mencampurkannya di wadah (seperti baldi atau seumpamanya bekas air). Kemudian beliau mengguyurkannya ke tangan yang disengat Kalajengking, dan mengusapnya seraya membaca surat al-Falaq dan an-Nas.” (HR. al-Baihaqi dan Ibnu Abi Syaibah).


Abdullah bin Mas’ud berkata, “Ketika Rasulullah sedang sujud dalam solatnya, jari beliau disengat Kalajengking. Setelah selesai solat, beliau bersabda,’Semoga Allah melaknat Kalajengking yang tidak memandang nabi atau selainnya.’ Lalu beliau mengambil wadah (bekas air) yang berisi air dan garam. Kemudian beliau meletakkan bahagian tangan yang tersengat Kalajengking dalam larutan air dan garam (merendamnya), seraya membaca surah al-Ikhlash, al-Falaq dan an-Nas, sampai beliau merasa tenang.” (HR. al-Baihaqi dan Imam al-Haitsami menyatakan bahwa sanad hadits tersebut hasan)

Mengenali Fiqh al-Aulawiyyat

Mengenali Fiqh al-AulawiyyatSuatu cabang ilmu yang menitik beratkan keseimbangan kehidupan antara dunia dan akhirat.Dengan berpandukan suatu garis panduan seperti yang terkandung didalam Fiqh Al-Aulawiyat,maka keputusan dapat dijana dengan sangat seimbang bagi mengelakan mudarat serta kesan selepas itu.

Ia menjurus kepada pertimbangan dalam membuat sesuatu keputusan secara menyeluruh dengan mengambil kira keutamaan-keutamaan yang paling utama.Fiqh Al-Aulawiyat banyak menjelaskan kepada kita bagaimanakah sesuatu keputusan dibuat,dengan lebih teliti dan teratur.

Secara kasar atau olahanya adalah,Fiqh Al-Aulawiyat mewujudkan keseimbangan baik dari kehidupan,masyarakat,pengurusan,hinggalah kepada aspek sekecil-kecilnya,ia juga turut memberikan kaedah-kaedah penentuan yang sesuai setelah mengambil kira apakah yang paling utama dan terbaik untuk kehidupan ini.

Fiqh Al-Aulawiyat ini sebenarnya mengajar kita bagaimana menilai,menganalisis,selain membuat keputusan yang seimbang terhadap sesuatu perkara.

Dengan menilai sesuatu perkara,dan meneliti keutamaan yang diutamakan,dan mengimbangi yang mana satukah paling hampir,yang paling mudarat,dan seterusnya secara bertahap.Maka keputusan pun dibuat tidak bercanggah atau bertindih terhadap sesuatu perkara apabila keputusan dibuat.

Maka dalam kehidupan hari ini,dapat kita mengembalikan semula cabang-cabang ilmu yang semakin pudar.

Misalnya,ilmu fardhu ain adalah lebih utama berbanding ilmu fardhu kifayah.

Ini adalah asas-asas yang ada didalam fiqh al-aulawiyat itu sendiri.Yang wajid diutamakan berbanding yang sunat.Yang kurang mudarat diutamakan berbanding banyak mudaratnya jika pun kedua-dua keputusan diambil membawa kemudaratan maka yang paling ringan sekali itulah diambil kira (pandangan dan huraian secara kasar sahaja).

Selain mengelak kekeliruan dan permasalahan yang timbul,fiqh al-aulawiyat memberikan keseimbangan dalam kesemua aspek dalam kehidupan ini.

Meletakan sesuatu keputusan pada tempatnya haruslah adil,saksama dan mengikut syariat yang terkandung dalam islam.

Dengan harapan agar fiqh al-aulawiyat ini kembali kepada tempatnya,iaitu menjadi sumber pembelajaran dan rujukan kepada sebarang keputusan yang ingin diambil,maka fiqh al-aulawiyat memberikan kita panduan serta pertimbangan yang wajar agar keputusan yang diambil,dibuat sama ada menerusi musyawarah atau secara individu (untuk diri sendiri) sesuai diguna dan diterapkan dalam kehidupan seharian.

44344f
Kitab Fiqh Al-Aulawiyat adalah hasil karangan tokoh terkemuka islam iaitu Prof.Al-Syeikh Dr Yusuf Abdullah Al-Qaradhawi (Nama yang saya selalu panggil adalah Yusuf Qadawi kerana terlalu panjang untuk saya sebut).

Didalam kitab fiqh al-aulawiyat tersebut,menerangkan bahawa keutamaan yang perlu diutamakan,kemudian barulah yang lain-lain pula.Aulawiyat bermaksud keutamaan.

Misalnya yang wajib adalah utama,kemudian sunat,harus,makruh haram.perkara-perkara ini ditimbang tara agar tidak membawa mudarat terhadap sesuatu perkara.

Selain itu juga,aspek lain yang diambil kira adalah mudaratnya sesuatu perkara.Mudarat kecil dan mudarat besar.Sungguhpun kedua-duanya membawa mudarat,mudarat kecil berkemungkinan diambil terlebih dahulu dan diutamakan,dan mudarat besar itu diketepikan kerana jika diambil juga,jelas membawa mudarat yang lebih besar lagi.

Dan perkara kecil adalah tidak wajar diperbesarkan,dan perkara besar tidak diperkecilkan.Maka keputusan itu melain kesemua peringkat analisis dan timbang tara.

Dengan fiqh al-aulawiyat,sebarang keputusan diambil dapat menempatkan kedudukan yang adil dan berada ditempatnya.Iaitu keputusan dibuat adalah sesuai dengan perkara tersebut.

Jika kita mahu,maka bolehlah kita mengambil sedikit masa untuk mengenali apakah itu fiqh al-aulawiyat.Tentu selepas ini kita akan kurang menghadapi dilema dalam membuat keputusan.

Antara lain yang berkait dengan fiqh al-aulawiyat ini adalah mereka yang berkelayakan dalam membuat keputusan atau fiqh al-muaznah.

Tentang fiqh al-muaznah secara ringkasnya adalah mereka yang ada kelayakan,yang mempunyai ilmu yang tinggi dalam dasar membuat keputusan.Kerana setiap keputusan harus berada dalam kedudukanya.Jadi mereka yang berkelayakan ini membuat keputusan dan timbang tara yang teliti berdasarkan apa yang terkandung dalam syariat islam itu sendiri.

Kedudukan Makmum Wanita


Solat Jemah Wanita Di Masjid
Dari Abu Hurairah, dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sebaik-baik saf bagi lelaki adalah yang paling hadapan dan seburuk-buruknya adalah yang paling belakang. Sebaik-baik saf wanita adalah yang paling belakang dan seburuk-buruknya adalah yang paling hadapan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Apabila imam solat berjamaah hanya dengan seorang makmum, maka dia (makmum) disunnahkan berdiri di sebelah kanan imam (sejajar dengannya), sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas r.a. bahawa “beliau pernah solat berjamaah bersama Rasulullah pada suatu malam dan berdiri di sebelah kirinya. Maka Rasulullah memegang kepala Ibnu Abbas dari belakang lalu memindahkannya ke sebelah kanannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Diriwayatkan dari Anas, ia berkata, “Aku solat bersama seorang anak yatim di belakang Nabi s.a.w., dan ibuku (ummu Sulaim) di belakang kami.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Jika seorang lelaki dan seorang wanita solat bersama imam maka lelaki berdiri sejajar di sebelah kanan imam, sementara wanita ber-saf sendirian di belakang keduanya. Diriwayatkan dari Anas, “Bahawa Rasulullah s.a.w. mengimaminya, dan seorang wanita bersama mereka, maka beliau menempatkannya di sebelah kanannya, dan wanita tersebut di belakang mereka.” (Hadis Riwayat Muslim)
Imam Ibnu Abdil Barr rahimahullah berkata, “Para ulama bersepakat bahawa seorang wanita itu solat di belakang seorang lelaki dalam satu barisan. Yang disunnahkan adalah mengambil posisi tepat di belakang laki-laki, bukan di sebelah kanannya.”(al-Mughni, Ibnu Qudamah)
Seorang lelaki boleh menjadi imam solat bagi isterinya atau salah seorang mahramnya. Dan tidak boleh seorang lelaki mengimami seorang wanita asing (bukan mahramnya) seorang diri, berdasarkan keumuman hadis berikut:
“Tidak boleh bagi seorang lelaki berduaan dengan seorang wanita, kerana yang ketiganya adalah syaitan.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Solat Jemah Wanita Di Masjid

Seorang Wanita Mengimamkan Jemaah Wanita


Kedudukan Imam Wanita Apabila seorang muslimah mengimamkan solat bagi sekumpulan wanita, dia hendaklah berdiri di tengah-tengah saf makmum yang pertama, dan bukannya di saf hadapan mereka. Ini adalah berdasarkan perbuatan Saidatina Aisyah dan Ummu Salamah r.a. Raithah al-Hanafiyyah menyebut bahawa Aisyah r.a telah mengimami mereka dan berdiri di tengah saf mereka dalam sebuah solat fardhu. Diriwayatkan oleh al-Baihaqi (3/131) dan Daruqutni (1/404). ‘Ammar al-Duhni pula diberitahu oleh Hujairah, iaitu seorang wanita dari kalangan kaumnya, bahawa Ummu Salamah r.a telah mengimamkan solat mereka dan beliau telah berdiri di tengah-tengah saf. Diriwayatkan oleh al-Baihaqi (3/313), Abdul Razak (3/140) dan Daruqutni (1/405) serta dianggap sahih bersandarkan bukti-bukti. Para muslimah yang menjadi imam bagi jemaah wanita juga diharuskan untuk menyaringkan bacaan di dalam solat berjemaah seperti solat Maghrib, Isyak dan Subuh melainkan sekiranya terdapat lelaki yang bukan mahram bersama mereka.

Makmum Wanita


Kedudukan Makmum Wanita Sekiranya wanita mengikuti solat secara berjemaah bersama kaum lelaki, mereka hendaklah berdiri di belakang saf para lelaki. Anas bin Malik r.a berkata:"Saya pernah bersembahyang dengan seorang anak yatim di rumah kami di belakang Nabi s.a.w sebagai imam, sedangkan ibu saya iaitu Ummu Sulaim berdiri di belakang kami." H.R al-Bukhari (no. 727) dan Muslim (no. 658) Justeru itu, para muslimah hendaklah bersembahyang di belakang saf lelaki sekalipun wanita tersebut hanya seorang diri. Berlainan pula sekiranya wanita tersebut berdiri keseorangan di belakang saf wanita, maka hukumnya adalah makruh. (Raudhah al-Thalibin, Jld. 1, hlm. 463) Seterusnya, adalah tidak harus bagi seorang lelaki untuk solat berdua mengimami seorang wanita sahaja yang bukan mahramnya kerana Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidak harus seorang lelaki menyendiri berdua-duaan dengan seorang wanita, kerana yang ketiganya adalah syaitan.” H.R. Tirmizi (no. 1171) dan Ahmad (no. 178) dengan sanad yang sahih. Walau bagaimanapun seorang lelaki diharuskan mengimami sekumpulan wanita kerana perhimpunan mereka tidak dianggap khulwah atau bersunyi-sunyian. Namun para salaf juga mensyaratkan keharusan tersebut dengan aman daripada fitnah.


Seandainya seorang wanita solat sesama mereka sahaja tanpa seorang lelaki pun maka saf yang paling depan ialah yang terbaik, kemudian diikuti oleh saf-saf yang seterusnya. Sabda Rasulullah s.a.w: "Sesungguhnya Allah S.W.T dan para malaikat-Nya berselawat ke atas saf-saf yang hadapan." H.R. Abu Daud (no. 650), al-Nasa'ie (2/90) dengan sanad yang sahih. Walau bagaimanapun jika mereka sembahyang berjemaah di belakang saf para lelaki tanpa tabir pemisah, maka sebaik-baik saf ialah yang paling belakang dan seburuk-buruknya ialah yang paling hadapan. H.R Muslim (no. 440), Abu Daud (no. 678), Tirmizi (no. 224) dan  Ibn Majah (no. 1000). Imam Nawawi menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan saf yang paling buruk ialah yang paling sedikit fadhilatnya dan paling kurang menepati kehendak syarak. Ini adalah kerana wanita sentiasa dituntut untuk menjauhkan diri daripada percampuran dengan kaum lelaki yang bukan mahram melainkan atas sebab yang darurat atau diharuskan oleh syarak. Justeru itu, dalam keadaan masjid di negera kita yang sudah diletakkan tabirnya, maka tempat yang terbaik bagi wanita ialah pada saf yang paling hadapan kerana sudah terpisah daripada pandangan lelaki.



Wanita Lebih Afdhal Solat Di Rumah Atau Di Masjid?


Nabi SAW bersabda maksudnya, "Janganlah kalian melarang para wanita (pergi) ke masjid dan hendaklah mereka keluar dengan tidak memakai wangi-wangian." (HR Ahmad dan Abu Daud)
Berdasarkan hadis ini, kita dapat fahami bahawa antara faktor mengapa Nabi SAW lebih menggalakkan kaum hawa untuk solat di rumah adalah kerana untuk mengelakkan timbulnya fitnah, godaan, menimbulkan syahwat di kalangan lelaki seperti memakai perhiasan, tabarruj, memakai wangi-wangian, berpakaian seksi dan ikhtilat (pergaulan bebas) di rumah Allah..



"إذا انعدمت العلة انعدمت الحكم"

'Apabila hilang / tiadanya sebab, maka hilang /tiadalah hukum.'
Jadi, sekiranya seseorang muslimah itu terhindar dari segala perkara di atas, maka adalah lebih baik untuk dia ke masjid kerana berdasarkan kaedah fiqh di atas, apabila tiadanya faktor yang menyebabkan seseorang itu lebih baik solat di rumah, maka terhapuslah hukum (solat di rumah lebih baik), justeru solatnya di masjid adalah lebih afdhal dari solat di rumah..
Berkata Al-Hafiz Ibn Hazm dalam kitabnya 'Al-Muhalla' : “Jika hadir seorang wanita ke masjid untuk bersolat berjemaah bersama kaum lelaki, maka itu adalah satu perkara yang baik. Hadis yang menyatakan kelebihan solat berjemaah mengatasi solat bersendirian dengan 27 darjat tidak boleh dikhususkan untuk kaum lelaki sahaja..."
Tiada Larangan untuk Ke Masjid Sabda Rasulullah S.A.W.: "Janganlah kalian melarang hamba-hamba wanita Allah untuk ke masjid-masjid Allah"{HR Bukhari: no 858 dan Muslim: no 442}
Dr. Sheikh Yusuf Al-Qaradawi berkata: "Solat seorang perempuan di rumahnya itu lebih baik dari di masjid jika dia ke masjid hanya untuk berjemaah, tanpa sebarang faedah lain, tetapi jika ada faedah yang lain seperti mendengar tazkirah keagamaan, mempelajari sesuatu ilmu atau mendengar bacaan al-Qur'an daripada qari yang khusyuk, maka pergi ke masjid itu adalah lebih baik.."
Sepertimana maklum, biasanya solat tarawikh di masjid diselitkan dengan ceramah-ceramah, zikir, tadarus Al-Quran dan majlis ilmu, jadi adalah lebih baik untuk kaum wanita ke masjid.. Sedangkan pada zaman Rasulullah, para sahabiah dan Ummul Mukminin (isteri-isteri Nabi) sangat rindu dan ghairah untuk ke masjid, bahkan ada sebuah hadis yang menunjukkan isteri Rasulullah sering ke masjid, Sayyidah Zainab r.a, salah seorang isteri nabi pernah mengikat seutas tali di antara dua tiang di masjid : Anas bin Malik r.a.
meriwayatkan bahwa Rasulullah masuk ke dalam masjid. Baginda melihat ada tali yang terikat antara dua tiang masjid, kemudian baginda bertanya, "Untuk apa tali ini?" Maka sahabat menjawab, "Ini adalah tali Zainab r.a.(isteri nabi) Bila dia letih dan mengantuk, maka dia akan bergantung kepadanya.
Rasulullah SAW . bersabda, "Bukalah tali ini. Hendaklah seseorang solat dalam keadaan bersemangat saja, dan bila dia letih hendaklah dia tidur." (H.R. Bukhari dan Muslim)
Subhanallah, kita lihat bagaimana Ummul Mukminin yang begitu erat terpaut dengan rumah Allah.. Tidak inginkah kita untuk mencontohi mereka? Tidak inginkah kita untuk menjadi sebaik-baik muslimah di sisiNya?



Soalan Kemuskilan Lain-lain Tentang Solat Melibatkan Wanita


ADAKAH ISTERI SUNAT MELAUNGKAN IQAMAH KETIKA SOLAT BERSAMA SUAMI?


Soalan; Assalamualaikum ustaz...sunat tak seorg isteri iqamah masa dia solatjemaah dgn suami dia di rumah mcm sunat bagi wanita iqamah kalau mereka solat sesama jemaah wanita? jawapan ustaz sy ucapkan ribuan terima kasih.
Jawapan;
Tidak disunatkan kepada isteri melaungkan iqamah, akan tetapi suamilah yang sunat melaungkannya. Wanita hanya disunatkan melaungkan iqamah jika ia mengerjakan solat sendirian atau sesama wanita (tanpa kehadiran lelaki). Adapun azan, tidak sunat wanita melaungkannya walaupun solat sesama wanita. Jadi, yang disunatkan hanya iqamah sahaja.

Rujukan;
Al-Masu'ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 6/9.
'Umdatu as-Salik, Ibnu an-Naqib, hlm. 38.
Syarah Muqaddimah al-Khadhramiyah, 1/184.
http://path2wardstafaqquh.blogspot.my/2013/07/kedudukan-wanita-dalam-solat-berjemaah.html
http://cikgujawi.blogspot.my/p/kedudukan-solat-jemaah_25.html

Apa Itu Haji Qiran

Melaksanakan Haji QiranQiran bererti mengumpul dua perkara. Dari istilah syarak pula menggabungkan antara ihram haji dan ihram umrah dalam satu perjalanan.


Dalam urutan haji yang paling afdal adalah haji ifrad,haji tamatu,kemudian haji qiran.[1]

Bagi yang melaknsanakan haji tamatu dan haji qiran,hendaklah wajib fidyah ataupun membayar dam.

Melaksanakan Haji Qiran

Ia berlaku dengan seseorang itu berniat untuk umrah dan haji sekaligus di miqat, sama ada ia secara hakiki iaitu dengan niat yang merangkumi kedua ibadah tersebut, ataupun secara hukmi seperti pendapat ulama Hanafi dengan cara berihram umrah sahaja dahulu kemudian sebelum dia melakukan tawafnya separuh atau lebih, ia berniat pula untuk melakukan haji. Bentuk ini tidak ada dalam pendapat ulama lain.

Bagi ulama Hanafi, dengan melakukan demikian, penggabungan itu telah terlaksana. Ini kerana sebahagian besar daripada amalan bagi ibadah berkenaan telah ada.

Bagi ulama jumhur pula seorang itu sah melakukan qiran dengan cara sebaliknya, iaitu berihram untuk ibadah haji dahulu kemudian menggabungkan umrah dengannya. Cara ini dianggap makruh oleh ulama Hanafi.

Mengikut jumhur, jika hendak digabungkan haji kepada umrah, maka hendaklah dilakukan sebelum seseorang itu memulakan tawaf umrahnya.

Sekiranya pekerjaan tawafnya telah bermula, walaupun selangkah maka tidak lagi harus digabungkan haji dengannya.

Fiqh Haji


Dinyatakan di sini beberapa permasalahan fiqh berkenaan dengan ibadat haji:

Pertama: Bila seorang bakal haji mahu meninggalkan Mekah dia hendaklah tawaf di Baitullah sebanyak tujuh pusingan. Semasa melakukan tawaf ini, tarammul tidak perlu dilakukan.

Tawaf ini disebut juga sebagai Tawaf Wida' atau Tawaf Sadr. Hukum tawaf ini mengikut ulama jumhur, selain kalangan Maliki adalah wajib kecuali bagi ahli Mekah.

Kedua: Jika seseorang wanita itu didatangi haid semasa mahu berihram, maka dia hendaklah mandi dan berihram. Jika kedatangan haidnya selepas melakukan wuquf di Arafah dan Tawaf rukun, maka dia hendaklah terus meninggalkan Mekah.

Dia tidak dikenakan apa-apa disebabkan tidak melakukan Tawaf Wida'. Inilah pendapat Dr. Wahbah al-Zuhaili.

Ketiga: Mengikut ulama Hanafi, sekiranya orang melakukan haji tamattu' itu membawa binatang dam, maka kedudukan haji yang dilakukan adalah sama dengan Haji Qiran, sebagaimana yang telah dijelaskan.

Seseorang itu tidak bertahallul seperti yang dilakukan oleh mereka yang mengerjakan haji secara tamattu', bahkan dia akan terus berada dalam keadaan berihram sehinggalah ia menyembelih binatang dam pada Hari Nahar.

Keempat: Mengikut pendapat jumhur ulama, menyembelih binatang dam, sama ada berupa kambing, lembu, unta, atau 1/7 daripada seekor unta wajib dilakukan pada Hari Nahar dan di Mina selepas melakukan lontaran Jamrah Aqabah, iaitu pada hari raya sebelum melakukan amalan bercukur.

Alasan pendapat ini ialah, Rasulullah s.a.w sendiri menyembelih binatang damnya dengan cara ini.

Ulama Syafie pula mengatakan, sebaiknya sembelihan ini hendaklah dilakukan pada Hari Nahar kerana mengikut apa yang Rasulullah s.a.w lakukan di samping mengelakkan daripada khilaf yang ada di kalangan ulama.

Kelima: Menurut mazhab Syafie, ibadah haji yang disuruh oleh syarak pada asalnya adalah secara Ifrad. Walau bagaimanapun, tiada halangan bagi seseorang itu berihram secara tamattu' atau Qiran dengan syarat dia hendaklah membayar fidyah, iaitu menyembelih seekor kambing yang layak untuk sembelihan qurban.

Jika kambing atau nilainya tidak diperolehi, dia hendaklah berpuasa selama tiga hari semasa haji dan tujuh hari setelah balik ke tanah air.

Semoga kita mendapat haji yang mabrur dan melayakkan untuk menjadi hamba Allah SWT yang mentaati dan mematuhi-Nya. Amin.



[1]Kitab Safinatun Najah hlm62 bab haji Syaikh Salim Bin Sumair al-Hadrami
Rujukan dari wannursyarifah.blogspot.com

Hukum Mengambil Wudhuk Ketika Azan Sedang Berkumandang


Hukum Mengambil Wudhuk Ketika Azan Sedang Berkumandang

Hukum Mengambil Wudhuk Ketika Azan Sedang Berkumandang

Assalamualaikum S.S Datuk, apakah hukum mengambil wudhuk ketika azan sedang dikumandangkan ?


Jawapan:



Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan kepada Rasulullah S.A.W, para sahabat, ahli keluarga, serta golongan yang mengikuti baginda sehingga hari kiamat. Amma Ba’du.



Dalam menjawab persoalan ini, kami bahagikannya terlebih dahulu kepada beberapa bahagian:



Hukum Mengambil Wudhuk Sebelum Dan Selepas Azan.




Para Ulama apabila menyebutkan berkenaan beberapa keadaan yang mana perbuatan sunat itu lebih afdhal berbanding perbuatan wajib mereka menyebutkan berkenaan hukum wudhuk sebelum dan selepas azan. Mereka mengatakan bahawa hukum mengambil wudhuk sebelum azan adalah Sunat. Manakala hukum mengambil wudhuk selepas azan adalah Wajib.



Kata al-Imam Ibn al-Subki Rahimahullah:



Berwudhuk sebelum masuk waktu itu adalah sunat dan ia lebih afdhal berbanding (berwudhuk) setelah masuknya waktu. Inilah pendapat yang dijelaskan oleh al-Qammuli dalam al-Jawahir dan sesungguhnya berwudhuk itu wajib setelah masuknya waktu solat. Lihat Al-Asybaah wal-Nazhair, al-Suyuthi (1/272).



Hukum Menjawab Seruan Azan




Perintah menjawab azan yang dikumandangkan dengan cara mengulangi apa yang telah disebutkan oleh muazzin adalah berdasarkan sebuah hadis yang mana Rasulullah S.A.W bersabda:



إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ



Maksudnya: Apabila kalian mendengar azan maka ucapkanlah sama seperti yang muazzin katakan.



Riwayat Muslim (383).



Berdasarkan hadis di atas, sebahagian para fuqaha mengatakan bahawa hukum menjawab azan adalah wajib. Ini kerana, di sana terdapat kata perintah dari Rasulullah S.A.W iaitu: “Maka ucapkanlah”. Ayat perintah ini kata mereka menunjukkan kepada wajib.



Manakala majoriti fuqaha berpendapat, hukum menjawab azan adalah sunnah mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Mereka berdalilkan dengan sebuah hadis yang sahih daripada Anas bin Malik R.anhu beliau berkata:



كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُغِيرُ إِذَا طَلَعَ الْفَجْرُ وَكَانَ يَسْتَمِعُ الأَذَانَ فَإِنْ سَمِعَ أَذَانًا أَمْسَكَ وَإِلاَّ أَغَارَ فَسَمِعَ رَجُلاً يَقُولُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ . فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " عَلَى الْفِطْرَةِ " . ثُمَّ قَالَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ . فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " خَرَجْتَ مِنَ النَّارِ



Maksudnya: Rasulullah S.A.W pernah menyerang musuh apabila terbitnya fajar dan baginda meneliti untuk mendengar seruan azan. Sekiranya baginda mendengar azan baginda berhenti sebentar dan jika tidak baginda teruskan menyerang. Maka baginda mendengar seorang lelaki mengucapkan: “Allahu Akbar Allahu Akbar”. Maka Rasulullah S.A.W mengatakan: “(Dia) berada di atas fitrah”. Kemudian lelaki itu mengatakan: “Aku bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang selain Allah”. Maka baginda mengatakan: “Kau telah keluar daripada neraka”.



Riwayat Muslim (382)



Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah S.A.W apabila mendengar azan baginda tidak mengikut atau mengulangi ucapan azan sebagaimana yang diucapkan oleh muazzin. Ini menunjukkan bahawasanya hukum menjawab atau mengulangi azan adalah sunat sahaja di sisi majoriti fuqaha.



Hukum Mengambil Wudhuk Ketika Azan




Wudhu’ semasa azan dikumandangkan adalah harus hukumnya dan tidak terdapat larangan dari sudut syarak. Akan tetapi, dikehendaki bagi orang yang berwudhuk untuk berusaha menjawab azan selepas diucapkan oleh muazzin berdasarkan sabda Nabi S.A.W:



إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ



Maksudnya: Apabila kalian mendengar azan maka ucapkanlah sama seperti yang muazzin katakan.



Riwayat Muslim (383).



Khatimah



Akhir kalam, kami berpendapat bahawasanya hukum mengambil wudhuk ketika azan sedang berkumandang adalah dibolehkan. Walaupun begitu, adalah lebih baik untuk kita bersiap sedia mengambil wudhuk terlebih dahulu sebelum azan dikumandangkan kerana itu lebih afdhal. Mengambil wudhuk sebelum azan juga memberikan ruang kepada kita menjawab laungan azan sebaik sahaja ia dikumandangkan. Maka dengan ini, kita akan mendapat ganjaran dan fadhilat yang lebih banyak di sisi Allah S.W.T. Semoga dengan pencerahan ini dapat memberikan kefahaman kepada kita semua. Ameen.



Akhukum Fillah



S.S. DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI



MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN


1 JUN 2016 BERSAMAAN 25 SYA’BAN

Back To Top